Friday, March 17, 2006

GUNUNG JERAI

Dari jauh
Lambaianmu Gunung Jerai
Indah terasa
pepohonan menghijau tersenyum riang
liuk ukiran lurah
keindahan alam

Di kakimu
manusia menumpang hidup
berkongsi bersama
tetapi yang kalah, kau juga
alam yang setia
tidak pernah membantah

Tapi
kadang kala dalam diam kau marah
merajuk kerana bulu-bulu di celah dada mu yang menghijau - dicabut
merajuk kerana kulit mu terdedah di bawah bahang sinar mentari
lalu kulitmu merekah punah
kau alihkan ke dasar urat-uratmu
yang nanti akan menjadi bicaramu
BANJIR...Tapi tiada siapa yang mendengar
kau mengeluh
yang pasti semuanya berjalan seperti biasa
berjalan bersama usiamu

Yang aku pasti
kini setiap kali aku melewati dadamu
mendidik anak-anak untuk mengenalmu
sudah terlambat
nafasmu semakin panas

Atau kerana nenek moyang mereka menamakan kakimu
yang nampak teduhan dan lurah-lurah GURUN! Gurun, Kedah
adakah rajukmu yang menjadikan nafasmu semakin hangat terasa
atau kerana nama penumpang kakimu yang tersilap memberi nama

Tapi yang pasti... kini
nafasmu semakin hangat
kota di kaki gunung yang semakin gersang
padang bertukar menjadi kuning
debu-debu naik menusuk lubang hidung
tapi sayang
hingga kini
tiada mengerti
kerana bicaramu merugikan ekonomi.

Gurun, Kedah.21 Mac, 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home