Wednesday, March 29, 2006

BELANTARA

Lapan tahun kutinggalkan tanah tumpah darahku
Negeri Di Bawah Bayu
dan kini berdiri di depan belantara jauh dari masa silam
yang nanti sebentar akan ku jenguk
menarik nafas dalam menikmati kenangan silam
yang telah mengajar erti sebuah kehidupan
kulihat wajah-wajah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun, Kedah
begitu bersemangat
menjejak, melihat dan mungkin ingin merasai keindahan alam

perjalanan bermula
seekor burung puyu terbang terkejut meninggalkan telur sebiji di atas tanah
pacat sudah lama menanti
pokok kecil besar tersergam indah
kenangan silam satu persatu bermain di mata
satu persatu anak-anak tergelincir
tanah curam yang licin
daun kering yang basah bertaburan
pepohonan hijau berdesir menyapa tiap kali kaki-kaki berlalu
pacat terkial-kial meminta sedekah
walau sedikit darah

Mungkin di balik rimba ada kata-kata
ada bisikan sayup
inilah AKU yang tidak pernah kau kenali
kerana hidupmu jauh di kota
jauh dari desa
dan hari ini ku sambut kedatanganmu
bilakah kau datang lagi?
kami sentiasa menanti mu
sekurang-kurangnya kau faham betapa derita dunia kami
yang semakin musnah
dari kegatalan tangan manusia - Belantara yang setia.

--------------------
Pusat Latihan Perhutanan, Jeniang, Kedah.
Jabatan Hutan Negeri Kedah.
2hb April, 2005.

Saturday, March 25, 2006

BUKU COMOT TULISAN SONGSANG

Kadang-kala kita terlupa
ke hulu ke hilir
kita pergi membawa diri, ada mata memerhati
membaca menilai
tulisan yang kita tulis

Kita kata siapa yang akan membaca?
lihat sebentar di sekeliling
mata-mata terbeliak membaca tulisan yang kita tulis
bila kita tulis yang romantik hebat dan sedap dibaca
orang akan suka membaca
tetapi...
kadang kala kita tulis yang songsang
Mungkin ada yang tanya
saya tak tahu menulis tak tahu memegang pensil
apa lagi buku!

Jangan lupa!
bila kita berjalan
bila kita bercakap
bila kita melayan orang
kita telah membuka buku dari dalam diri kita untuk orang lain baca
Baik buruk penilaian
lulus gagal tindak tanduk
segalanya bermula dari pensil jiwa raga
sebelum terlambat kita baiki
ayat yang SONGSANG
kerana kesongsangan membawa derita.
BIAR BUKU YANG COMOT tetapi tulisan indah.

Sungai Petani - 25 Mac, 2006

Sunday, March 19, 2006

BICARA ALAM

Bila alam mula bicara
maka kita mula gelisah
kerana semalam dada bumi bergolak bergoncang menggegarkan malam
kita berlari keluar rumah
terjatuh masih berlari
Pagi tadi kaca TV tak habis - habis bicara
bicara tentang dada bumi yang berkocak
lantaran ketakutan Tsunami yang pernah membinasakan kita

Tapi kita bersyukur
sekurang-kurangnya kita ingat
bahawa kita kerdil
kita ingat ini rumah kita
rumah kita yang minta dijaga
biarkan alam ini berbicara seketika.

29 Mac, 2005
Sungai Petani, Kedah.

Friday, March 17, 2006

MESEJ DARI SEBATANG ROKOK

Di luar sana pandangan mata berpinar
kelabu berdebu
jerebu
debu berterbangan
asap debu bersatu
nun kejauhan kelam dipandang dan mataku terhenti seketika
menetap tepat asap bergelung
seorang lelaki separuh umur
menghisap rokok
lalu puntung dilontar ke lantai
hendak disapa malu terasa kita pendatang menegur tuan rumah
cuba kau bayangkan seketika
jika hari ini 10 batang puntung rokok kau lontar di atas lantai
10 hari 100 dan 100 hari ...
bagaimana dengan asap di luar sana
yang sudah berasap debu
kau hisap candu rokokmu habis
kau hembus sisa-sisa yang nanti menjadi penyakit teman-teman
kalau tidak pun kau mencemar pandangan mata
membinasakan ruang alam kerana hanya sebatang rokok.

Sungai Petani
22 Mac, 2005

ALAM MILIK KITA

Bumi ini milik kita
Alam ini milik kita
anugerah Tuhan yang amat bernilai
merana dan sejahtera hidup manusia terletak pada sumber semula jadi di muka bumi ini.

Pencipta mencipta alam ini seimbang untuk kesejahteraan kita
Bumi yang luas dijadikan sebagai tempat tinggal kita
gunung-ganang pemasak bumi
tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan

Jika sakit kita lari ke hutan
dan sejahterahlah kita kerana ubatnya
Biodevisiti berkongsi kehidupan di darat
di laut dengan segala keanehannya
angin dengan keajaibannya
langit pula penuh dengan rahsianya

ini rumah kita - alam ini
soalnya siapa harus menjaganya
dugong sudah lama berkubur tidak bisa bicarakan kepedihan rumput beracun
harimau belang entah segan entah malu
terpaksa mencuri di pinggir kampung kerana kita rampas rumahnya
kita berhenti seketika
merenung alam ini
berdiri semula membina rumah kita - alam ini milik kita.

GUNUNG JERAI

Dari jauh
Lambaianmu Gunung Jerai
Indah terasa
pepohonan menghijau tersenyum riang
liuk ukiran lurah
keindahan alam

Di kakimu
manusia menumpang hidup
berkongsi bersama
tetapi yang kalah, kau juga
alam yang setia
tidak pernah membantah

Tapi
kadang kala dalam diam kau marah
merajuk kerana bulu-bulu di celah dada mu yang menghijau - dicabut
merajuk kerana kulit mu terdedah di bawah bahang sinar mentari
lalu kulitmu merekah punah
kau alihkan ke dasar urat-uratmu
yang nanti akan menjadi bicaramu
BANJIR...Tapi tiada siapa yang mendengar
kau mengeluh
yang pasti semuanya berjalan seperti biasa
berjalan bersama usiamu

Yang aku pasti
kini setiap kali aku melewati dadamu
mendidik anak-anak untuk mengenalmu
sudah terlambat
nafasmu semakin panas

Atau kerana nenek moyang mereka menamakan kakimu
yang nampak teduhan dan lurah-lurah GURUN! Gurun, Kedah
adakah rajukmu yang menjadikan nafasmu semakin hangat terasa
atau kerana nama penumpang kakimu yang tersilap memberi nama

Tapi yang pasti... kini
nafasmu semakin hangat
kota di kaki gunung yang semakin gersang
padang bertukar menjadi kuning
debu-debu naik menusuk lubang hidung
tapi sayang
hingga kini
tiada mengerti
kerana bicaramu merugikan ekonomi.

Gurun, Kedah.21 Mac, 2005

Thursday, March 16, 2006

SIAPA TAHU

Siapa tahu
kalau hari ini hari-hari senang
esok tentu hari-hari tak senang

Siapa tahu
hari-hari senang ada kelapangan
kita guna sesaat untuk berfikir
kerana kelapangan waktu zaman ini
umpama titisan embun pagi
datang mentari hilanglah ia

Fikirkan sebentar saja
siapa tahu hari ini ada surat kiriman dari ruang waktu
dimensi yang tidak kelihatan
mungkin hari ini siapa tahu
ada rahsia
ada bayangan
tentang esok...yang boleh menjadi pedoman hari ini... siapa tahu.

Nota: Puisi ini telah ditulis pada 19 Mac, 2005